Teman Sejati

Manusia tidak boleh hidup bersendirian dan sentiasa mengharapkan orang lain. Oleh itu, manusia memerlukan teman untuk mengharungi kehidupan serta menghadapi cabaran suka duka di dunia ini.

Itulah antara hikmah di sebalik penciptaan manusia pelbagai bangsa, agama serta latar belakang.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunannya atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Islam sebagai agama yang syumul lagi lengkap dalam semua aspek kehidupan manusia tidak ketinggalan menyentuh persoalan teman atau sahabat yang sewajarnya menjadi pilihan umat Islam.

Apatah lagi pakar psikologi dan ulama tasauf sering menekankan teman mampu mempengaruhi perwatakan dan pembawaan diri temannya yang lain.

Rasulullah SAW memberi peringatan kepada umatnya supaya berhati-hati memilih teman. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: “Seseorang itu menurut agama sahabatnya, oleh itu seseorang Muslim itu hendaklah berhati-hati dengan siapakah yang harus dia pilih sebagai sahabat.” (Hadis riwayat Ahmad)

Jelas daripada mafhum hadis itu, jika temannya itu orang yang baik dan salih, maka dia akan membantunya menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim di samping memelihara hak serta kewajipan dalam konteks persahabatan.

Sebaliknya, jika temannya itu teman yang jahat, maka akibatnya sudah pasti dia berada dalam kancah kejahatan. Akhirnya, dia akan menyesal seperti kisah yang dirakamkan Allah mengenai orang yang tersilap memilih teman ketika di dunia.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (ingatlah) hari (ketika itu) orang yang zalim menggigit dua tangannya seraya berkata: Aduhai kiranya (dulu) aku mengambil jalan bersama Rasul! Kecelakaan besarlah bagiku semoga (dulu) tidaklah aku menjadikan si polan itu teman akrabku. Sesungguhnya dia telah menyesatkan aku daripada al-Quran ketika al-Quran ini datang kepadaku. Dan adalah syaitan itu tidak mahu menolong manusia.” (Surah al-Furqan, ayat 28 – 29)

Sehubungan itu, Islam meletakkan garis panduan untuk kita memilih teman yang salih dan sejati. Rasulullah SAW mengajar supaya memilih sahabat yang mendorong ke arah kebajikan dan amal salih. Ini kerana setiap kita mudah terpengaruh dengan sifat, agama dan peribadi temannya itu.

Teman yang baik budi pekerti dan salih penting untuk merangsang kita berakhlak mulia sepertinya. Begitulah sebaliknya, teman yang jahat hanya akan mendorong ke arah kejahatan dan kemaksiatan yang dimurkai Allah.

Ditinjau situasi masyarakat dewasa ini, dapat diperhatikan betapa anak muda tidak begitu mengambil endah akan hal memilih teman yang baik. Maka tidak hairanlah, ramai daripada kalangan muda mudi begitu mudah terjebak dalam kancah gejala sosial dan jenayah yang dilarang.

Menurut kajian dijalankan, antara punca utama menyebabkan mereka mudah terjerumus ke kancah itu ialah pengaruh sahabat dan teman sebaya. Mereka dengan tidak segan silu bergurukan teman rapat berbanding ibu bapa.

Akibatnya, berlakulah kes derhaka kepada kedua ibu bapa, rumah tangga bercerai-berai dan lari dari rumah. Sekarang tiada guna menuding jari meletakkan kesalahan kepada sesiapa kerana ia sudah pun berlaku dan paling penting ialah berusaha mengatasi kemelut yang meruncing daripada mengakari serta melarat dalam masyarakat.

Islam menekankan pemantapan akhlak terpuji dan pengisian rohani dengan keimanan tulus kepada Allah dalam diri Muslim. Institusi keluarga adalah benteng pertama dan juga unit terpenting dalam satu-satu masyarakat yang melahirkan generasi terbilang untuk kepemimpinan Islam akan datang.

Justeru, tanggungjawab sebenarnya digalas setiap ibu bapa untuk mendidik dan mengasuh anak sebagai insan yang salih dan bertakwa kepada Allah. Apalah gunanya kekayaan dan harta benda bertimbun sedangkan anaknya terbabit dalam gejala sosial yang hanya akan mendatangkan masalah serta ancaman kepada masyarakat dan negara.

Selain itu, masyarakat juga sewajarnya peka dan prihatin terhadap anggota masyarakatnya terutama muda-mudi yang masih mentah dengan rentak kehidupan ini. Untuk itu, setiap anggota masyarakat perlu memainkan peranan memantau segala gerak geri muda- mudi dengan menggalakkan amalan bermanfaat serta mencegah amalan dilarang Allah.

Ini adalah ciri masyarakat Islam yang baik seperti terungkap dalam firman Allah yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman).” (Surah Ali-Imran, ayat 110)

Teman sejati dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Ibarat teman yang baik itu adalah seumpama seorang yang membawa haruman kasturi. Walaupun kamu tidak dapat memilikinya, namun kamu dapat juga menghidu bau harumnya dan bandingan teman yang jahat itu seperti seorang (tukang besi) yang menggunakan alat hembusannya. Biarpun kamu tidak terkena habuknya yang hitam, akan tetapi kamu terkena juga asapnya.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Persahabatan dengan teman yang salih lagi bertakwa akan menjulang temannya itu ke mercu kemuliaan dan kesejahteraan, manakala persahabatan dengan teman yang jahat pula hanya membawanya ke lubuk kehinaan dan kecelakaan yang tiada penghujungnya.

Sebagai renungan bersama, seorang ahli hikmah pernah menyatakan: “Sesiapa yang ingin bersahabat dengan lapan jenis manusia, maka akan bertambah lapan pula akibatnya. Pertama, sesiapa yang berkawan dengan orang kaya, maka akan bertambahlah cintanya kepada dunia.

Kedua, sesiapa yang bersahabat dengan orang fakir miskin, maka akan bertambahlah rasa syukur dan reda dengan rezeki diperolehnya. Ketiga, sesiapa yang bertemankan pemimpin, maka akan bertambahlah kecongakan dan kesombongannya.

Keempat, sesiapa yang bersahabat dengan wanita, maka akan bertambahlah kebodohan dan nafsu syahwatnya. Kelima, sesiapa yang bergaul dengan anak-anak atau kanak-kanak, maka akan bertambahlah sifat suka bermainnya dan membuang masa.

Keenam, sesiapa yang bersahabat pula dengan orang fasik, maka akan bertambahlah keberaniannya untuk berbuat dosa dan menangguhkan taubat kepada Allah. Ketujuh, sesiapa yang suka bergaul dengan orang salih, maka akan bertambahlah keinginannya untuk taat kepada Allah. Akhirnya, sesiapa yang suka berkawan dengan ulama, maka akan bertambahlah ilmu dan sifat waraknya.”

Leave a comment

No comments yet.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s